Fesyen bagaikan satu evolusi zaman. Semasa perkembangan fesyen dan trend, penggemar fesyen turut beralih mengikut gaya terkini. Jika tidak, pasti anda akan dianggap ketinggalan zaman.
Biasanya, menjelang tahun baru, segala fesyen, trend, rekaan malah warna pilihan pada tahun sebelumnya mula dianggap lapuk. Justeru, setiap orang perlu melangkah ke alam fesyen baru.
Bagaimanapun, tanggapan sedemikian sebenarnya silap kerana ia menghalang seseorang termasuk lelaki yang gemar berfesyen untuk mencuba sesuatu yang lebih stailo, berani dan moden. Ia satu mitos yang tidak wajar menghantui fesyen lelaki.
Stailo menyenaraikan beberapa persepsi yang ketinggalan zaman tentang fesyen lelaki. Turut dinyatakan ialah tip berpakaian yang sesuai untuk lelaki.
1. Kasut dan tali pinggang
Lelaki sering berfikiran bahawa mereka mesti patuh pada perubahan fesyen sedangkan kebanyakan fesyen lelaki tidak banyak berubah dari dulu hingga sekarang.
Salah satu contoh terbaik adalah persepsi bahawa warna kasut mesti sama dengan warna tali pinggang. Jika ini masih dipraktikkan maka ia akan menyebabkan lelaki kelihatan kurang berpersonaliti dan tua sebelum waktunya.
Untuk lebih praktikal, asalkan warna tali pinggang dan kasut anda datang daripada kelompok warna yang sama, anda tetap kelihatan bergaya. Sebenarnya, peraturan ini bukan hanya sesuai diaplikasikan kepada kasut dan tali pinggang, malah ia secocok dengan keseluruhan penampilan.
Sebagai contoh, anda tidak perlu memakai baju kelabu dengan tali pinggang, kasut dan seluar kelabu. Anda boleh menjadi kreatif dengan warna-warna daripada tona yang sama seperti coklat, jingga dan hijau. Ini menjadikan pemakaian anda lebih dinamik. Ingat, kata kuncinya ialah warna tidak perlu serupa tetapi harus sepadan.
2. Kaflin dan penyemat tali leher
Ramai yang berpendapat apa yang klasik itu lapuk. Anak-anak muda hari ini menganggap kaflin dan penyemat tali leher hanya sesuai digunakan pada era 1970-an.
Pemikiran seperti ini sepatutnya dikikis kerana meskipun evolusi fesyen berubah-ubah melangkaui dekad, dua aksesori tersebut masih kekal digunakan.
Sebenarnya, untuk menambahkan sofistikated penampilan lelaki bersut, mereka hendaklah memakai kaflin dan penyemat tali leher.
3. Jam tangan tali logam sesuai dengan apa sahaja
Jam tangan bertali logam dan berwarna perak sangat popular. Ia tidak pernah ketinggalan zaman. Ramai yang merasakan jam tangan seperti ini merupakan pilihan yang tepat untuk apa saja penampilan.
Memang benar bahawa jam tangan silver-and steel-plated sesuai digayakan dengan pakaian kasual atau bisnes. Namun, ia tidak seharusnya digayakan dengan sut formal atau tuksedo.
Untuk lebih praktikal, cari seutas jam tangan bertali kulit yang tahan lasak dan boleh dipakai lama. Seeloknya, beli tali berwarna hitam kerana ia boleh dipadankan dengan apa juga penampilan dan sesuai untuk majlis-majlis formal.
4. Buang pakaian musim lalu
Kita sering disogok dengan pelbagai koleksi pakaian dari luar negara mengikut cuaca empat musim. Sebagai warga Malaysia yang tinggal di negara yang cuacanya panas dan lembap sepanjang tahun, kita tidak sepatutnya terlalu obses dengan apa yang diiklankan dalam majalah.
Sebenarnya, anda tidak perlukan jaket yang banyak kerana iklim di Malaysia tidak mengizinkan anda memakainya seharian.
Selain itu, jangan buang semua baju yang dibeli tiga bulan lalu semata-mata kerana musim sudah bertukar dan dianggap tidak terkini lagi.
5. Padankan corak dengan corak
Seperti kebanyakan lelaki yang takut memadankan warna, perkara yang serupa terjadi untuk memadankan corak. Peraturan yang mendakwa lelaki hanya dibenarkan memakai satu corak pada satu masa harus dilupakan. Ini zaman moden, jangan terlalu kolot dan takut kepada kelainan.
Jika kena gaya, padanan corak dengan corak boleh menjadi sofistikated dan sangat stailo. Sebagai contoh, gandingkan kemeja bercorak jalur dengan tali leher bercorak kotak. Namun, peraturan yang mesti dituruti adalah salah satu daripadanya mestilah berwarna lebih subtle.
credit to kosmo.com.my