

Bukan mudah meletakkan nama dalam industri penyiaran, khususnya dalam arena penyampai radio di Malaysia. Begitu juga dengan anak kelahiran Ipoh, Perak Ini. Bagi Tuah Zuqarnain Idris, 32, bergelar penyampai radio bukanlah sekadar mengejar populariti. Baginya yang pernah muncul dalam beberapa drama seperti Kawan, Pintu Ke Syurga, Ekspedisi, Gayah Enterprise, Sebening Kristal dan Cahaya ini, kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan pengorbanan tinggi, selain bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan ketika ke udara. Hal peribadi harus diketepikan untuk memastikan rancangan kelolaannya berjaya. Dia yang bertugas di Suria FM bermula jam 4 petang hingga 8 malam berkongsi pengalamannya bersama JomStar.
Sejak bila Tuah mula bergelar penyampai radio?
Saya memulakan kerjaya sebagai juruhebah pada 16 Julai 2004, bermula di Muzik FM. Selepas empat bulan menghadiri ujibakat, barulah saya dipanggil menyertai mereka. Setelah beberapa tahun, saya berhenti dua bulan ke udara sebelum mendapat tawaran di Suria FM.
Apa perbezaan dahulu dan sekarang?
Suasana sekarang agak berbeza. Jika di Muzik FM, kita pilih lagu sendiri selain menjadi penerbit. Kitalah yang kena pastikan rancangan yang kita kendalikan bagus. Di Suria FM, sebagai sebuah stesen swasta, selalunya mementingkan nilai komersial. Banyak benda kita kena jaga, khususnya dari segi penyampaian supaya pendengar tidak bosan. Cara penyampaian mesti pendek ringkas dan padat. Di sini semuanya terjaga, sama ada dari segi promosi dan sebagainya. Kami ada kebebasan dalam penyampaian. Kalau dahulu bahasa kena guna betul-betul, tak ada kelonggaran macam di sini.Tuah pernah terbabit dengan kontroversi apabila sekumpulan artis meninggalkan konti sewaktu ke udara sedikit masa dahulu.
Bagaimana Tuah mengawal situasi itu?
Pada ketika itu saya rasa marah, dan Zaf yang menjadi pasangan saya hampir menangis. Saya tak pernah kena macam tu, dan rasa teruk sangat. Bagi saya, sebagai penyampai, bukan semua artis saya kenal. Tak semua perkembangan artis kita tahu A sampai Z. Saya bukan jenis bersosial, jarang pergi majlis yang melibatkan artis. Waktu itu, saya betul-betul kenal penyanyi utama sahaja. Malah ketika itu kami berdua tak ada bahan rujukan mengenai mereka. Saya memang rasa hilang semangat, tetapi saya kuatkan semangat itu kembali dengan mengatakan pada diri sendiri yang rezeki bukan terletak pada tangan mereka (artis terbabit). Bagi saya, kalau tak suka sekali pun, tidak wajar mereka buat kami macam tu. Jangan malukan saya dengan menuduh yang bukan-bukan, malah ada yang kata saya tak buat persediaan. Saya buka Internet sebelum itu, namun saya tak jumpa langsung sumber mengenai mereka. Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Dato' Siti Nurhaliza, Anita Sarawak dan Sheila Majid. Dengan mereka, kita tanya satu, mereka jawab sepuluh. Mereka ini lagenda, namun mereka faham kerja kita.
Mengapa agaknya mereka berkelakuan sedemikian?
Mungkin orang tak hormat sebab orang rasa saya muda. Susah juga apabila orang ingat saya muda, orang kurang hormat pada saya. Saya sudah berusia 32 tahun, dan ramai yang tak tahu. Kalau diikutkan, saya di luar seorang yang serius. Tuah seorang yang ceria ketika ke udara.
Bagaimana Tuah boleh kata yang Tuah seorang yang bersifat serius?
Saya bukan saja-saja nak gelak ketawa ketika ke udara. Saya ada tugas untuk menceriakan pendengar. Bekerja sebagai penyampai pun macam berlakon juga. Kalau ditimpa kesedihan, macam mana pun saya kena kawal perasaan saya. Saya pernah menangis sebelum ke udara, tetapi saya buang jauh-jauh rasa sedih sebelum memulakan tugas. Saya cerita yang baik-baik sahaja, orang di luar tak tahu perasaan saya. Syukur kerana Tuhan bagi saya bertukar watak untuk meneruskan kerja tu. Saya ikhlas 'berlakon' ketika ke udara, sebab itu orang tak tahu apa keadaan saya ketika itu.
Boleh cerita sedikit mengenai pembabitan Tuah dalam pengacaraan?
Sebelum ini saya ada mengacara di RTM ketika bersama Muzik FM, seperti mengacara rancangan Reaksi, Sukan 2004, Sukan 2005, Sukan 2006, Sukan 2007,pengacara jemputan Hits 1 dan Bintang RTM. Sejak bekerja di Suria FM, ada yang berfikir oleh kerana saya tidak lagi bekerja di sana, peluang berada di stesen itu kurang. Sekarang saya mengacara menerusi Astro Oasis. Semasa pergi uji bakat, yang datang semuanya daripada industri nasyid, yang memang ada latar belakang berpengetahuan berkenaan lagu nasyid. Sebagai penyampai radio, saya tahu juga serba sedikit mengenai lagu nasyid. Cuma dari segi personaliti, pada mulanya saya rasa agak sukar diterima khususnya penampilan saya. Alhamdulillah, saya terpilih. Mungkin mereka nak larikan konsep agar nampak lebih santai. Walaupun Astro Oasis saluran berbentuk ketuhanan, dari segi hiburan mereka tak nak ada had. Tak semestinya kena ada gaya macam penyanyi nasyid. Biar orang nampak Islam sesuatu yang global dan tak menggambarkan apa yang dalam hati berdasarkan pakaian. Perunding imej pun nak yang macam tu.
Sebagai penyampai, adakah Tuah mempunyai idola?
Terus terang, saya tak ada idola. Saya lebih banyak melihat, mendengar, menghayati dan buat betul-betul. Tetapi, saya suka gaya Najman dan David Low. Kalau boleh nak jadi macam mereka, tetapi konsep stesen ini tak sesuai, jadi kita kenalah ikut.
Profil TuahNama sebenar: Tuah Zuqarnain Idris
Umur: 32
Asal: Ipoh, Perak
Tarikh lahir: 27 Oktober 1976
Hobi: Window shopping dan mencari gajet terbaru
credit to jomstar.com