BENARKAH anak sulung lebih berkuasa................, sementara anak bongsu pula lebih manja dan mengada-ngada? Namun, antara fakta atau kebetulan kenyataan seperti ini sudah menjadi seakan lumrah di kalangan masyarakat bila mendebatkan mengenai identiti anak sulung - anak bongsu.Anak sulung yang dikaitkan sebagai orang nombor tiga di dalam hieraiki keluarga selepas ayah dan ibu ternyata lebih menonjol sikap dominasi berbanding adik beradik lain, selain sikap ego mereka yang tersendiri dalam membuat sebarang keputusan.Kelebihan menjadi anak yang tertua dalam keluarga itu secara tidak langsung membayangi peranan adik-beradik lain, terutama anak bongsu dari segi membuat keputusan dan memberikan sebarang pendapat kerana ‘dikuasai’ peranan autonomi anak sulung.Mengulas mengenai siapa yang lebih ‘berkuasa’ di kalangan adik-beradik, Pakar Motivasi Keluarga, Dr Rubiah Kulop, berkata tidak timbul siapa yang lebih berkuasa atau hebat di dalam kedudukan adik-beradik, sebaliknya lebih penting adalah bagaimana peranan ibu bapa itu sendiri dalam memberikan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak.Beliau berkata, tidak akan timbul masalah siapa lebih hebat dalam kedudukan keluarga jika ibu bapa tidak memberikan sepenuhnya ‘kuasa’ kepada anak sulung untuk mendidik adik-adiknya, sehingga pada satu tahap membuatkan mereka dibayangi keegoan anak sulung.“Kita perlu melihat konteks anak sulung itu sendiri sama ada dia memiliki jumlah adik-beradik ramai ataupun setakat mempunyai seorang adik saja.“Jika dia mempunyai adik-beradik ramai, sudah tentu nampak sifat ego dan kelakuan ingin memerintah kerana mempunyai kuasa autonomi untuk ‘menguasai’ adik-beradik yang lain,” katanya yang juga Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa peringkat Kebangsaan yang juga pensyarah di Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM).Beliau berkata, menjadi anak sulung bukanlah tiket untuk memerintah adik-beradik lain supaya menuruti setiap kata-kata mereka dengan sesuka hati, sementara menjadi anak bongsu pula tidak bermakna harus menuruti segala benda yang tidak wajar untuk dicontohi.Katanya, ibu bapa ternyata banyak meletakkan harapan kepada anak sulung tetapi pada masa yang sama lebih banyak terluka dan kecewa dengan sikap anak sulung yang membuat banyak kesilapan.“Ini berlainan pula dengan sikap anak bongsu yang banyak menjadikan kesilapan dan kekurangan anak sulung mahupun abang dan kakak sebagai teladan untuk menjadi anak yang lebih baik.“Ia secara tidak langsung membuatkan anak bongsu lebih disayangi dan diberi perhatian dalam keluarga kerana sikap mereka sendiri yang lebih terbuka dan kurang melukakan hati ibu bapa,” katanya kepada i-Kon.Mengulas lanjut mengenai tingkah laku anak bongsu, Dr Rubiah berkata, berbanding adik-beradik lain terutama anak sulung, anak yang terakhir mendapat layanan berbeza daripada ibu bapa terutama dari segi suasana didikan dan kasih sayang.Dari segi kasih sayang dan perhatian daripada keluarga, beliau berkata anak bongsu turut mendapat keistimewaan tersendiri kerana mereka bukan saja menerima impak itu daripada ibu bapa, sebaliknya turut mendapat kasih sayang daripada kakak dan abang.Katanya, faktor didikan dan perhatian lebih itulah secara tidak langsung mendorong anak bongsu menjadi lebih manja, pada masa yang sama menjadi lebih positif kerana menjadikan kelemahan adik beradik lain sebagai teladan untuk tidak diikuti.“Bagaimanapun, jika anak bongsu itu lelaki, manakala adik beradik yang di atas pula kebanyakannya perempuan, timbul pula masalah kelembutan yang ketara dalam diri anak lelaki itu. Ini kesan daripada didikan dan faktor menjadikan adik beradik lain sebagai idola.“Begitu jugalah sekiranya anak bongsu itu wanita di mana mempunyai ramai adik beradik lelaki yang jelas menonjolkan sikap tomboy ketika membesar,” katanya yang menasihati ibu bapa supaya memainkan peranan penting dari segi faktor perkembangan sekeliling anak-anak.Ditanya mengenai perbezaan di antara anak sulung lelaki dengan anak sulung perempuan, Dr Rubiah berkata, anak sulung lelaki ternyata lebih matang dan mempamerkan sikap autoriti sebagai anak yang teratas dalam keluarga.Tambah beliau, anak lelaki sulung juga begitu peka dengan soal kebajikan keluarga terutama membabitkan hal-hal luar rumah termasuklah perkara berkaitan dengan soal harta, kuasa dan pengagihan hak sebagai contoh.Manakala, Dr Rubiah berkata, anak perempuan pula berkelakuan sebaliknya kerana mereka lebih banyak mendahului aspek di dalam rumah terutama membabitkan kebajikan adik-beradik, kebersihan, susun atur barangan dan perlindungan di dalam rumah.“Pucuk pangkalnya, ibu bapalah yang harus menentukan dan memberikan perhatian sama rata tanpa ada perbezaan kasih sayang rujukan untuk anak tertentu saja sehingga mengenepikan hak-hak anak yang lain untuk bersuara dan memberikan pendapat.“Tidak harus timbul siapa yang nombor satu ataupun siapa lebih tua kerana tidak semestinya pendapat anak sulung itu betul manakala pendapat anak bongsu tidak boleh diambil kira, kerana semuanya saling memerlukan dan harus ada tolak ansur untuk keharmonian sesebuah keluarga,” kata Dr Rubiah.
INFO: Kedudukan anak dalam keluargaANAK sulung, anak bongsu mahupun anak tunggal, masing-masing mempunyai peranan dan karektor tersendiri. Setiap kedudukan dibentuk melalui didikan dan perhatian yang diberikan oleh ibu bapa dan persekitaran tersendiri. Berikut adalah pandangan mengenai karektor dan kedudukan anak di dalam keluarga.
Anak sulung
Sesuai dengan kedudukannya sebagai anak sulung, mereka ternyata lebih berdikari dalam membuat sebarang keputusan. Tidak hairan mengapa anak sulung bersikap bertanggungjawab untuk menjadi pengganti kedudukan ibu bapa sekiranya diperlukan untuk menjaga urusan keluarga. Namun, ketiadaan abang atau kakak membuatkan anak sulung kurang mendapat perhatian dan contoh terbaik untuk diikuti.
Anak tengah
Kedudukan anak ini diapit oleh seorang atau beberapa orang kakak dan seorang atau beberapa orang adik. Dengan kedudukan di tengah ini secara tidak langsung membuatkan karektor mereka lebih tersepit dan tidak menonjol. Lebih menyedihkan, ada di antara mereka yang terpaksa mewarisi barangan kakak atau abang yang lebih tua seperti pakaian, barang mainan, peralatan sekolah dan lain-lain.
Anak bongsu
Masyarakat sering menganggap anak bongsu manja dan mendapat perhatian lebih keluarga, baik daripada ibu bapa, kakak dan abang. Dengan perhatian sedemikian, sifat keanak-anakan itu jelas ada dalam diri anak bongsu. Faktor lain yang ada dalam diri anak bongsu adalah sikap emosi, mudah tersentuh dalam apa jua keadaan.
Articel courtesy of IKON
1 comments:
April 29, 2008 at 4:15 PM
tapi tak semua anak sulung tu canthekkkkkkk kan?
Post a Comment