Ilham untuk puteri raja





Sekembalinya pereka terkemuka dunia Zang Toi ke tanah air baru-baru ini adalah atas dua sebab penting. Pertama untuk melancarkan Himpunan Zang Toi Fall & Resort 2008 dan menghadiri majlis perkahwinan anak saudara beliau. Begitupun, ada seperkara lagi yang amat bermakna bagi beliau di atas kepulangannya itu dan beliau merasakan sungguh bertuah kerana dapat menyertainya. Ikuti bicara ringkas Elemen Fesyen bersama pereka kebanggaan Malaysia ini.

SEPERTI biasa, perwatakannya yang peramah dan mesra terus terpancar sebaik sahaja beliau muncul. Menyapa dan bertanyakan perkembangan masing-masing setelah setahun kami tidak bersua, Zang Toi nampak ceria walau sedikit susut berat badannya. Bagaimana tidaknya, dengan jadual kerja yang padat dan barisan pelanggan VIP serta selebriti bertaraf Hollywood yang harus beliau layan, itu sudah cukup untuk memenuhi setiap minit hariannya. Itu belum lagi mengambil kira betapa kerapnya beliau harus ke luar negara untuk tujuan mencari bahan baru dan menerajui perniagaan butiknya di New York.


STAILO
Ilham untuk puteri raja
Sekembalinya pereka terkemuka dunia Zang Toi ke tanah air baru-baru ini adalah atas dua sebab penting. Pertama untuk melancarkan Himpunan Zang Toi Fall & Resort 2008 dan menghadiri majlis perkahwinan anak saudara beliau. Begitupun, ada seperkara lagi yang amat bermakna bagi beliau di atas kepulangannya itu dan beliau merasakan sungguh bertuah kerana dapat menyertainya. Ikuti bicara ringkas Elemen Fesyen bersama pereka kebanggaan Malaysia ini.

ZANG TOI kini sibuk melakar ilham untuk menghasilkan satu ciptaan istimewa buat puteri Diraja Kelantan.


"I'm so happy to be back home," kata pereka antarabangsa dan anak kelahiran Kuala Kerai, Kelantan ini. "Tapi, saya sedang alami gangguan perut," katanya ketawa sambil menoleh kepada abangnya, Tse Loun Toi yang turut bersama kami. "Saya tak boleh berterusan makan begini, I'll be in trouble."

ZANG TOI mengekalkan kasut tumit tinggi dan bermuncung runcing.
Begitulah keadaan beliau setiap kali berpeluang kembali ke tanah air. Setiap hari, beliau berjamu hidangan tempatan kegemarannya hingga sering mengalami sakit perut atau terganggu kesihatan dek terkejut dengan bahan-bahan panas seperti cili dan rempah yang bukan sebahagian daripada rutin menunya di New York. Begitupun, baginya keseronokan pulang bertemu sanak saudara dan rakan-rakan menjadi lebih bermakna apabila masing-masing berebut-rebut untuk menjamu beliau dengan pelbagai hidangan tempatan kegemarannya.
Mempunyai reputasi sebagai seorang pereka Asia yang berjaya menambat hati VIP dan kaya ternama melalui hasil kreativiti dan cita rasa beliau yang anggun dan penuh glamor, penyertaan Zang Toi di dalam pertunjukan fesyen amal Royal Glamor and Elegance pada majlis santapan malam Royals and Arts - Seni Diraja adalah satu kerjasama yang amat bertepatan sekali.
Merupakan juga seorang pereka yang banyak menyumbang kreativiti dan bermurah hati menyertai kerja-kerja di Amerika, Zang Toi percaya bahawa setiap orang, pada satu-satu masa, pasti akan memberi sumbangan amal apalagi jika mereka berada di dalam kedudukan selesa.
Hari ini, menggunakan kreativiti, kemahiran dan kepakaran untuk disumbangkan bagi tujuan amal jariah merupakan satu cara yang sangat berkesan. Ia juga adalah cara paling sesuai dan pantas bagi sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk menderma dan menyumbang kepada badan-badan amal, selain sumbangan dalam bentuk wang ringgit.

Peluang penuh bermakna"Memang saya menyukai projek-projek amal seperti ini dan saya berasa cukup bertuah kerana dapat sama-sama menyumbang kepakaran dan kreativiti saya demi membantu mereka yang memerlukan," pintasnya serius. "Membantu ibu tunggal dan anak yatim serta mengutip dana bagi tabung barah servik sesungguhnya satu usaha yang murni dan saya amat terharu kerana dijemput sebagai salah seorang pereka untuk projek ini," tambahnya.
Menurut Zang Toi yang bakal menghasilkan satu ciptaan istimewa buat puteri Diraja Kelantan, Yang Mulia Tengku Ony Qistina, peluang tersebut amatlah bermakna bagi beliau kerana sebagai seorang rakyat Malaysia dan berasal dari Kelantan, gabungan itu beliau lihat sebagai satu simbolik dan sinergi yang istimewa.

Apa yang bakal beliau hasilkan, katanya adalah ilham daripada imej dan cita rasa seorang puteri raja. Sebagai contoh memandangkan puteri raja sering dikaitkan dengan keanggunan dan dan glamor, ciptaannya akan berteraskan kepada potongan dan gaya yang feminin dan penuh dengan ciri-ciri glamor.

"Namun begitu, kesopanan dan kedaulatan keluarga diraja perlu dititikberatkan," katanya serius. "Lebih-lebih lagi bagi adab kesopanan kita, maka saya akan pastikan pakaian itu nanti bakal mempamerkan kejelitaan Tengku Ony sekali gus membuat beliau nampak glamor dan anggun, tapi bukan seksi," tambahnya lagi setelah berbincang tentang peranan seorang puteri dan kesopanan pakaian puteri raja bersama abangnya, Tse Loun Toi.
Penting yang beliau harus sentiasa ingatkan katanya ialah mengelakkan pakaian tidak berlengan atau terdedah. Untuk menghasilkan ciptaan yang seksi dan membuat pemakainya anggun, bagi Zang Toi, rekaan itu tidak semestinya mendedah atau senteng tetapi sebaliknya, jika bijak bermain dengan potongan dan fabrik yang dipilih, itu sudah cukup untuk impak yang diinginkan.
Dengan fabrik istimewa yang dipilih daripada butik tekstil terkemuka Jakel, beliau yakin pakaian tersebut akan menyerlah dan menjadi di antara pakaian paling indah pada malam tersebut. Untuk tujuan amal tersebut, beliau menyeru agar rakyat Malaysia sama-sama menyertainya dengan menyumbang pembelian meja untuk Majlis Santapan Malam Amal Royals and Arts - Seni Diraja yang bakal berlangsung pada 22 Ogos ini di hotel One World, Kuala Lumpur.

SETIAP pasang kasut dibuat daripada fabrik satin dan baldu bermutu tinggi.
Pertunjukan fesyen, Royal Glamor and Elegance ini adalah antara salah satu tarikan pada malam tersebut yang mana 18 orang puteri raja daripada sembilan negeri beraja di Malaysia bermurah hati untuk memperagakan ciptaan daripada 20 pereka yang bakal menghasilkan pakaian untuk mereka dengan menggunakan fabrik mewah sumbangan Jakel demi mengutip derma bagi tabung yang disebutkan tadi.

Himpunan Musim-Luruh Resort 08Di Amerika, musim demi musim, Zang Toi telah lebih dua dekad mengujakan penonton dan peminatnya setiap kali beliau memperkenalkan koleksi terbarunya. Ada sahaja elemen terkini yang beliau suntik ke dalam setiap helai ciptaannya walaupun mengekalkan identiti anggun dan glamor yang menjadi mercu tanda imej beliau.
Itulah keistimewaan Zang Toi sekali gus menjawab persoalan mengapa setiap musim, pertunjukan pentasnya menjadi tumpuan media terutama editor majalah terkemuka antarabangsa seperti Vogue, Bazaar dan Vanity Fair.

Pada Februari lalu, pertunjukan fesyen beliau yang mempertontonkan himpunan Andirondacks di Mercedes Benz, New York City untuk Minggu Fesyen Musim-Luruh 2008 dianggap paling menarik dan mendapat liputan memberangsangkan daripada media.
Himpunan tersebut beliau bawa pulang khas untuk projek mengutip tabung amal yang dianjurkan bersama Hotel Istana Kuala Lumpur dan Chartreuse Couture Sdn Bhd (Zang Toi, KL). Hasil kutipan derma tersebut adalah untuk mengisi tabung National Cancer Society of Malaysia, The Lance Armstrong Foundation New York (untuk tujuan pengkajian antarabangsa) dan PAWS (Animal Welfare Society) Malaysia.

Bagi koleksi istimewa ini, Zang Toi mempertontonkan elemen dramatik, glamor, klasik hitam, merah dan putih, sementara elemen logam seperti perak, keemasan dan gangsa menambah watak dan peribadi kepada himpunan tersebut.
HIMPUNAN siap pakaian daripada Zang Toi.

Aksesorinya juga menawan dan segar tetapi masih mengekalkan identiti Zang Toi yang klasik, penuh dengan ciri-ciri moden dan untuk gaya wanita canggih. Kasutnya sebagai contoh adalah daripada jenis bertumit sederhana hingga ke tumit tinggi dan bermuncung runcing. Yang pasti, terdapat pelbagai pilihan menawan dan anggun disediakan oleh Zang Toi daripada himpunan kasut ready-to-wear beliau.

Menarik buat musim ini dan perlu dimiliki oleh setiap wanita ialah kasut rekaan peep-toes atau jenis terbuka di hujung jari. Selain cantik dan seksi, kasut jenis ini akan menjadi salah satu fashion comeback yang begitu ketara sekali.

Bagi memberi pilihan yang lebih meluas, Zang Toi menyediakan empat himpunan classic peep-toes dengan sentuhan moden untuk disesuaikan dengan keinginan dan gaya hidup wanita kini yang canggih.

Pilihan kombinasi warnaContohnya, Sexy and Bold, ZFC-PM8C8 boleh didapati di dalam beberapa pilihan kombinasi warna seperti kelabu dan merah jambu, hijau serindit dan hitam, merah dan ungu serta hitam dan merah. Setiap satu diperbuat daripada fabrik satin dan baldu bermutu tinggi dan tapaknya pula diperbuat daripada kulit bermutu yang beliau katakan amat sesuai untuk digayakan ke mana juga, mahupun untuk majlis siang dan berpesta pada waktu malam.

Namun begitu, menurut beliau, stilettos bertali masih dan akan terus menjadi satu barangan fesyen idaman wanita. Untuk himpunan kali ini, beliau mengenengahkan cita rasa vibran dengan suntikan warna-warna metalik serta hiasan permata yang mempamerkan glamor dan keanggunan bila dipakai.

Seperti biasa, setiap kali pasti ada satu kejutan dan pembaharuan yang beliau hasilkan untuk menguja peminat serta penonton pada pertunjukan pentasnya walaupun sesetengah ciptaan adalah a comeback, tetapi bila ia mendapat sentuhan pereka unggul ini, hasilnya akan menjadi sesuatu yang baru dan mencetus aliran terkini.

Memperkatakan itu, himpunan musim Luruh 2008 ini tentu sahaja tidak dapat mengenepikan kasut-kasut signatur Zang Toi yang merupakan rekaan klasik dengan fabrik bercorak bunga. Bagi 'penagih' tegar kepada himpunan Zang Toi ini, rangkaian ZFC-WD7H1 pasti sahaja akan menjadi penawar.

Antara lain yang menarik, terdapat juga himpunan edisi terhad yang disempurnakan oleh pereka ini sendiri dan dikatakan oleh media dan pemerhati fesyen sebagai satu himpunan yang mampu melonjakkan imej pereka yang beroperasi di New York ke satu paradigm shift yang membanggakan dan dinanti-nantikan oleh pengulas dan pengkritik fesyen.
credit to kosmo

0 comments: