Rozita Che Wan 'berehat' seketika akibat kanser usus

PELAKON jelita Rozita Che Wan nampaknya terpaksa melupakan seketika karier seninya kerana perlu berehat setelah menjalani pembedahan akibat kanser usus yang dihidapinya, baru-baru ini.Meskipun pada mulanya, Rozita enggan bercerita tentang kesakitan yang dialaminya itu, namun setelah dipujuk dan mengatakan ceritanya kini telah tersebar di internet, Rozita lantas berubah fikiran dan bercerita tentang penyakit yang dihadapi tanpa memberitahu lokasi hospital yang menempatkan dirinya sekarang.

Dia yang kini sedang dirawat di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur bukan sahaja tidak dapat memenuhi undangan berbuka puasa, sesi fotografi raya, malah dia juga perlu menangguhkan penggambaran drama 26 episod Bara Yang Ku Genggam untuk RTM yang sepatutnya di sambung pada 11 September lalu.Usahanya untuk menghabiskan masa cuti selama 10 hari mulai awal bulan ini bersama anak-anaknya juga terbantut.
Sebenarnya saya dah alami sakit ni sejak dua bulan lalu tetapi waktu itu saya sibuk dengan penggambaran drama.

"Pada 1 September lalu, saya pergi jumpa doktor sebab perut makin membengkak.
"Doktor kata saya menghidap kanser usus. Tetapi kanser ini masih di peringkat awal.
"Dia kata saya perlu melakukan pembedahan untuk membuang ketulan yang berada di usus.

"Saya pun tak tahu sebab apa tetapi penyakit ini diam-diam sahaja dan apabila sampai masa baru saya dapat tahu apabila ia membengkak.

"Bahagian yang bengkak itu di x-ray dan saya terus membuat keputusan untuk terus dibedah.
"Selepas melakukan pembedahan pada hari itu juga, saya ditahan hingga sekarang. Hanya team produksi dan keluarga saya sahaja yang tahu tentang hal ini. Doktor pun nasihatkan saya supaya tidak memberitahu orang lain agar tidak diganggu," kata ibu tunggal kepada dua orang anak ini.
Kata Rozita, dia sudah melakukan dua kali pembedahan usus. Bercerita tentang keadaannya sekarang, Rozita meluahkan rasa sakit dan bosannya apabila hanya terbaring di katil dan tidak boleh terlalu banyak bergerak.

"Tentang makan pula, saya perlu berpantang dari makan makanan laut dan daging. Bagaimanapun, saya tidak lalu makan kerana sakit tekak," ujar Rozita yang ditahan di hospital tersebut hingga pengaliran darah ok dan betul-betul sihat.
Namun setelah keluar hospital, Rozita mungkin tidak dibenarkan untuk terus aktif dalam industri ini.

"Harap-harap raya nanti saya dah boleh keluar dari hospital dan beraya di rumah. Doktor kata saya tak boleh lasak sangat selepas ini. Jadi, saya kena rehat sekejap daripada lakonan," tutur Rozita.

Ketika di hospital, Rozita tidak kesunyian apabila ibu dan anak-anaknya ada datang melawat dan berbuka puasa dengannya.

Walaupun tidak dapat berpuasa, Rozita berkata dia tetap merasai suasana puasa apabila tiba masa bersahur dan berbuka puasa.

"Semasa mak saya bersahur, saya pun turut bersahur. Anak-anak pun ada datang berbuka dengan saya setiap hari.

"Itupun saya bagitahu anak-anak saya terutama yang sulung selepas dia habis menjalani peperiksaan UPSR sebab tak nak dia risau," kata Rozita.

Bertanya tentang persediaan raya, kata Rozita, dia sudah menyediakan baju raya untuk anak-anaknya termasuk diri-sendiri sebelum bulan puasa lagi.

"Saya buat persediaan awal sebab tak mahu ganggu masa bulan puasa. Malam-malam pula saya membawa anak-anak berterawih. Jadi, lepas itu baru ok pergi ke Jalan Masjid India atau membeli-belah di mana-mana," akhiri Rozita yang dijangka menamatkan zaman solonya pada tahun depan
credit to mSTAR Online

0 comments: